Sejarah Tahun Baru Cina
Sejarah Tahun Baru Cina bermula beribu-ribu tahun dahulu, di mana seekor makhluk ganas yang bernama ‘Nian’ membuat
huru-hara di Tanah Besar China. Ini membuatkan manusia hidup dalam
ketakutan dan kesengsaraan. Mereka mencari ikhtiar untuk menewaskan
makhluk ini. Akhirnya mereka berjaya menakutkan makhluk ini dengan
melemparkan reben merah ke udara, meletupkan mercun dan membakar bunga
api siang dan malam.
Perayaan Tahun baru
Cina adalah menandakan permulaan tahun baru bagi kalender masyarakat
Cina. Bersama-sama dengan warna merah, tanglung, mercun dan pakaian
‘cheongsam’ , ia menjadi simbol tradisi kemeriahan masyarakat cina.
Tahun Baru Cina
melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan.
Sebelum hari tahun baru bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali
berkumpul. Rumah akan dicuci dan segala hutang-piutang dikutip atau
dibayar agar mereka tidak sentiasa dikelilingi hutang sepanjang tahun
yang baru. Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya
tahun baru dan bagi menghalau puaka dan nasib malang. Rumah-rumah
dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki, bunga dan pokok
limau.
Perayaan yang bersamaan
dengan permulaan kepada musim bunga di China adalah permulaan kepada
bulan baru dan zodiak baru. Seperti yang kita ketahui, terdapat 12 ekor
binatang yang menjadi simbol tahunan kepada orang Buddha. Lagenda
meriwayatkan, bahawa suatu masa dahulu Buddha telah menjemput semua
binatang untuk mengadapnya, tetapi Cuma 12 binatang sahaja yang sampai.
Sebagai penghargaan dari Buddha, kesemua binatang ini diberi
penghormatan menjadi zodiak yang mulia bagi masyarakat Cina Buddha.
Binatang-binatang itu ialah anjing, khinzir, tikus, monyet, harimau,
kambing, ayam, kuda, ular, naga, lembu dan arnab. Kononnya dikatakan
bahawa mereka yang lahir dalam tahun-tahun ini akan mewarisi sifat dan
untung nasib binatang tersebut.
sumber: http://pmr.penerangan.gov.my/